gambar sekadar hiasan
SI BONGKOK TANJUNG PUTERI
Ada beberapa tokoh misteri yang nama
mereka ‘hilang’ dalam lembaran sejarah perjuangan menentang
penjajah di tanah air, ratusan tahun lalu. Walaupun kewujudan mereka suatu
ketika dulu memberi sumbangan besar dan mencetuskan kegerunan di jiwa penjajah,
kebanyakan tokoh ini tidak disebut dalam mana-mana dokumen sejarah.
Menyedari pentingnya sumbangan dan kewujudan pahlawan
misteri itu didedahkan kepada khalayak untuk diiktiraf sejarah tanah air, ahli
Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Jelebu, Negeri Sembilan; Abdul Latip Talib,
memulakan penyelidikan bagi membongkar rahsia kehilangan mereka.
“Antara tokoh terbabit adalah Si Bongkok Tanjung Puteri yang
sehingga kini, sejarah perjuangannya masih tidak diketahui ramai pihak,”
katanya yang menulis novel sejarah berkenaan pahlawan itu, tahun lalu.
Beliau berkata, tidak seperti tokoh pejuang lain seperti
Datuk Bahaman di Pahang atau Rentap di Sarawak, sejarah negara ini tidak pernah
mengenali siapa Si Bongkok yang berjuang menentang British dan sekutunya di
Johor.
“Ceritanya bermula apabila British mula menjajah Singapura
seterusnya cuba melebarkan pengaruh mereka ke Johor,” kata Abdul Latip
seterusnya memulakan kisah perjuangan Si Bongkok Tanjung Puteri yang kini semakin
hilang dalam lipatan sejarah negara.
Pernah suatu ketika sekitar abad ke-19, Kerajaan Johor tidak
diperintah oleh Sultannya tetapi pentadbiran dan segala urusan negeri diuruskan
Temenggung Abdul Rahman atas sokongan British.
Polemik itu berlaku apabila Sultan Hussein mangkat pada
1835; putera baginda iaitu Tengku Ali cuba mendapatkan haknya sebagai Sultan
Johor tetapi dihalang Temenggung Abdul Rahman.
Akibat daripada perebutan kuasa itu, muncul kisah perjuangan
Si Bongkok di Tanjung Puteri (kini Johor Bahru). Beliau berhasrat mengusir
pengaruh penjajah dari bumi Johor dan tidak bersetuju dengan hasrat pemerintah
negeri yang berbaik-baik dengan British.
Si Bongkok juga inginkan takhta kesultanan Johor yang ketika
itu dikuasai Temenggung Abdul Rahman, dikembalikan kepada pewaris asal iaitu
Tengku Ali.
Si Bongkok memang nama asalnya manakala nama bapanya adalah
Damak. Dinamakan dirinya sebagai ‘Si Bongkok’ berikutan keadaan tubuh badannya
yang cacat iaitu bongkok ke kanan manakala tangan kirinya pula cengkung.
Mukanya pula herot dan bengkak ke kanan.
Walaupun dilahirkan sebagai insan yang cacat, Si Bongkok
membesar sebagai seorang pemuda yang gagah dan berani. Beliau cekap bermain
senjata dan mahir dalam ilmu lautan. Si Bongkok juga dikatakan memiliki ilmu kebal
yang menyebabkan jasadnya tidak akan luka sama ada ditembak atau ditikam
senjata tajam.
Kewibawaan beliau dikagumi ramai pihak sehingga Si Bongkok
diangkat menjadi pemimpin oleh pengikutnya yang ramai. Di kalangan musuhnya
sendiri beliau digelar Panglima Si Bongkok.
Si Bongkok hidup di atas kapal layar di tengah laut. Dia
mempunyai pengikut yang ramai dan masing-masing memang cekap bermain senjata
serta mengendalikan kapal di laut.
Kebenciannya terhadap penjajah dan pemimpin tempatan yang
mengadakan hubungan dengan bangsa asing itu menyebabkan Si Bongkok bersama
pengikutnya bangkit menentang.
Mereka akan menyerang kapal bangsa asing yang melalui
perairan Johor untuk berdagang di pelabuhan Tanjung Puteri atau Singapura.
Tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai lanun.
Disebabkan serangan Si Bongkok dan pengikutnya, aktiviti
perdagangan dan ekonomi di Tanjung Puteri dan Singapura semakin merosot kerana
kebanyakan pedagang asing tidak lagi berani memasuki wilayah itu.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada British
menyebabkan bangsa asing itu mengarahkan Temenggung Abdul Rahman supaya
menghapuskan kumpulan Si Bongkok.
Bagaimanapun, walau pelbagai cara digunakan untuk membunuh
Si Bongkok, usaha itu tidak pernah berhasil kerana dipercayai tiada siapa yang
mengetahui cara untuk mengatasi ilmu kebal yang dikuasai pahlawan itu.
Usaha mengekang serangan Si Bongkok terus diperketat dengan
rondaan berterusan diadakan di perairan Selat Tebrau. Kerajaan Johor dan
British juga semakin khuatir kerana angkatan laut Si Bongkok memiliki ubat
bedil dan senjata api hasil rampasan kapal dagang Barat yang diserang mereka.
Pada suatu hari, satu angkatan laut Johor diketuai Panglima
Johor, Laksamana Daeng Alek meronda di Selat Tebrau mencari Si Bongkok.
Kehadiran tentera diraja itu untuk menangkapnya sudah diketahui Si Bongkok
melalui perisiknya di istana. Si Bongkok pun bersedia menghadapi tentangan
angkatan Panglima Johor.
Rondaan kapal perang Panglima Johor akhirnya berjaya
mengesan kedudukan kapal Si Bongkok. Mereka segera merapati kapal itu untuk
menyerangnya.
Si Bongkok mengarahkan pengikutnya seramai lima puluh orang
menyerang belas askar diraja itu. Pertempuran hebat berlaku di atas kapal, di
tengah lautan.
Selepas lama bertempur, akhirnya angkatan Panglima Johor
tewas. Mereka terpaksa berundur kembali ke pangkalan di Tanjung Puteri selepas
ramai askar diraja yang terkorban dan lima kapal perangnya, karam.
Kekalahan itu tidak memutuskan semangat Panglima Johor untuk
terus menyerang Si Bongkok. Pada hari yang lain, mereka menyerang lagi dengan
lebih ramai askar. Angkatan perang Panglima Johor berjaya mengepung beberapa
kapal Si Bongkok tetapi dengan kebijaksanaannya, Si Bongkok berjaya melarikan
diri ke tempat persembunyiannya sekitar Tanjung Belungkur.
Kegagalan itu menyebabkan Laksamana Daeng Alek, Kerajaan
Johor serta British semakin marah dan tertekan.
Selain Panglima Johor, turut menentang Si Bongkok adalah
adiknya sendiri iaitu Panglima Putih. Berbeza dengan Si Bongkok yang menyokong
Tengku Ali, Panglima Putih menyokong Temenggung Abdul Rahman menyebabkan mereka
bermusuhan.
Mereka berdua juga dikatakan mencintai gadis yang sama iaitu
Si Tanjung. Bersama Laksamana Daeng Alek, Panglima Putih beberapa kali
menyerang abangnya tetapi tetap gagal menghapuskan Si Bongkok. Si Bongkok pula
terus menyerang kapal dagang yang ingin berlabuh di Tanjung Puteri dan
Singapura.
Episod akhir perjuangan Si Bongkok berlaku apabila sekali
lagi kapalnya diserang. Akan tetapi, serangan pada kali itu lebih dahsyat
kerana setiap penjuru perairan Selat Tebrau sudah dikepung angkatan laut Johor.
Si Bongkok dapat melepaskan diri ke Tanjung Belungkur,
tempat persembunyiannya tetapi kapal Panglima Putih terus mengejar.
Lirik lagu Tanjung Puteri
Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu
Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri
( korus )
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diraja
Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri
Inggeris label pemuda cacat sebagai pengganas.
“SELEPAS Si Bongkok menemui ajalnya di tepi pantai itu,
mayatnya dijumpai seorang penduduk tempatan dikenali Uteh Jantan.
“Kemudian Uteh Jantan bersama beberapa penduduk kampung
membawa mayat Si Bongkok sehingga ke lereng bukit Tanjung Puteri dan pahlawan
itu dikebumikan di situ secara rahsia,” kata penulis novel Si Bongkok Tanjung
Puteri, Abdul Latip Talib.
Beliau berkata, pengebumian itu dilakukan secara rahsia
kemungkinan bagi mengelakkan Kerajaan Johor dan British mengambil jasad
pahlawan yang sememangnya disokong penduduk tempatan.
Katanya, penduduk terbabit juga mungkin khuatir mereka akan
ditahan pihak berkuasa kerana mengebumikan jasad Si Bongkok menyebabkan mereka
tidak menghebohkan lokasi mayat itu ditanam.
Kini, pusara berkenaan terletak dalam hutan belukar di kaki
bukit Tanjung Puteri dan pengunjung perlu meredah semak dan denai selama
setengah jam untuk sampai di sana. Penduduk yang tidak biasa dengan keadaan
hutan itu, pasti tersesat dan tidak menemui kubur pahlawan berkenaan.
Sebaik melihat pusara berkenaan pula, perasaan sayu dan pilu
menjelma di jiwa tatkala melihat keadaannya yang terbiar tanpa ada usaha untuk
memuliharanya. Pusara itu sekadar bernesankan sekeping papan yang sudah reput.
“Mengikut cerita penduduk tempatan, nesan itu diletakkan
seorang lelaki pada 23 Januari 1981 selepas dia bermimpi didatangi Si Bongkok
yang menyuruhnya menanda pusara pahlawan berkenaan,” katanya.
Abdul Talib berkata, berdasarkan penemuan kubur berkenaan
selain cerita mengenai Si Bongkok yang tersebar secara lisan sehingga hampir ke
seluruh Johor sehingga kini, maka beliau yakin yang Si Bongkok sememangnya
pernah wujud dan bukanlah cerita dongeng. Malah, namanya turut disebut dalam
lagu rakyat Johor iaitu ‘Tanjung Puteri’.
Katanya, beliau mula menulis novel sejarah mengenai Si
Bongkok sejak tahun lalu bagi memperbetulkan kembali ‘fitnah’ yang dilemparkan
terhadap pahlawan itu kononnya beliau adalah lanun dan bukannya pejuang
menentang penjajah.
Selain itu, usaha membukukan kisah perjuangan Si Bongkok
juga dibuat Abdul Latip bagi membolehkan cebisan sejarah lisan yang tersimpan
dalam ingatan orang lama, tidak hilang ditelan masa seterusnya nama Si Bongkok
akan dikenang melewati masa.
“Saya percaya ramai pejuang Melayu yang nama mereka hilang
daripada lipatan sejarah negara kita dan Si Bongkok adalah seorang daripada
pejuang itu; sejarah kita dulu ditulis British menyebabkan ramai pahlawan kita
yang menentang mereka dianggap penderhaka dan nama mereka tidak dicatat dalam
sejarah.
“Saya berharap supaya sejarah ini boleh diperbetulkan semula
dan pihak terbabit perlu tampil mengiktiraf perjuangan Si Bongkok setaraf
dengan nama pejuang lain seperti Tok Janggut, Dol Said dan sebagainya,”
katanya.
Abdul Latip juga menggesa pihak berkuasa supaya memulihara
pusara Si Bongkok sebagai satu daripada warisan peninggalan sejarah yang bukan
saja dibanggakan rakyat Johor tetapi rakyat negara ini.
“Saya sendiri sudah pergi ke Tanjung Belungkur untuk melihat
sendiri pusara Si Bongkok Tanjung Puteri, keadaannya amat menyedihkan kerana
terbiar. Selepas 50 tahun kita merdeka, masihkah kita sependapat dengan
penjajah yang melabelkan Si Bongkok itu lanun dan pengganas?” katanya.
SUMBER : FB kuasa johor
SUMBER : FB kuasa johor
Boleh bagitau xlokasi sebenar pusara si bongkok kt johor bahru nii?
ReplyDeleteBukit Belungkor Pengerang Kota Tinggi Johor. Di lereng-lereng Bukit ini juga terletaknya Makam Si bongkok Tanjung Puteri. Di Bukit Belungkor ini juga tempat persembunyian si Bongkok, menyerang kapal bangsa asing yang melalui perairan Johor untuk berdagang di perlabuhan Tanjung Puteri atau Singapura tindakan itu menyebabkan British melabelkan mereka sebagai "LANUN". Di sini tinggal nya Pahlawan yang tidak didendang. Itu lah dia Si Bongkok Tanjung Puteri.
Delete