Friday, 11 March 2016

AMALAN BERINAI !! hati-hati.....

Memang Cantik Tapi Perempuan Patut Tahu Hukum Berinai.

Sekarang ini semacam satu trending bila mana pengantin perempuan akan menghias jari dan tangan dengan inai. Kalau dulu, inai hanya dipakai pada hujung jari, sekarang inai dilukis dengan pelbagai corak menarik. Apa hukumnya pada pandangan Islam mengenai perbuatan berinai begini.
Ada larangannya...
Digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin berhias untuk suaminya. Antara cara berhias itu ialah dengan mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya.
1. Menurut ulama, mewarnai tangan dan kaki dengan inai adalah disunatkan bagi perempuan-perempuan yang telah berkahwin dengan syarat mendapat keizinan suaminya. Jika tanpa keizinan suami (yakni suami tidak menyukainya) tidaklah harus. Bagi perempuan yang belum berkahwin, hukumnya adalah makruh mengikut kebanyakan ulama kerana tidak ada keperluan dan juga bimbang timbulnya fitnah.
2. Ada juga ulama yang berpendapat; diharuskan bagi perempuan secaranya umumnya untuk berinai sama ada telah berkahwin atau belum berkahwin kecuali perempuan yang kematian suami dan masih dalam eddah.
3. Adapun bagi lelaki, diharamkan mewarnai tangan dan kakinya dengan inai atau bahan lainnya kerana perbuatan tersebut menyerupai wanita yang dilaknat di dalam hadis Nabi s.a.w. “Allah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.” (HR Imam al-Bukhari dari Ibnu Abbas r.a) Namun dikecualikan jika tujuan memakai inai itu adalah untuk pengubatan.
Ini adalah hukum berinai secara umumnya. Adapun berinai dengan cara melukis pelbagai corak di tangan atau kaki (yakni bukan dengan mewarnai keseluruhan tangan atau jari-jarinya), maka perbuatan itu menurut ulama adalah makruh.
Berkata Syeikh Yusuf al-Ardibli dalam kitabnya, ‘al-Anwar li A’mal al-Abrar’: “Jika seorang perempuan hendak mewarnai dua tangannya, hendaklah mewarnai keseluruhan dua tangannya dengan pewarna. Tak disunatkan baginya membuat lukisan/ukiran, begitu juga mewarnakan dengan hitam, mewarnakan sebahagian jari sahaja dan memerahkan pipi. Malah diharamkan setiap satu daripada perbuatan-perbuatan itu ke atas perempuan bujang (yakni tidak bersuami) dan juga perempuan bersuami jika tidak diizinkan suaminya.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment