Sunday, 24 April 2016

MELATAH BOLEH BERJANGKIT ? bahaya ni..jangan usik usik

sekadar gambar hiasan
LATAH menerusi Rujukan Persuratan Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud; suatu keadaan di mana tingkah laku yang tidak normal disebabkan seseorang terkejut.

Apabila terkejut, orang terjejas biasanya terlibat dalam tingkah laku seperti menjerit, memaki, pergerakan jenis tarian, dan ketawa tidak terkawal.

Latah tidak mengenal usia. Ada dewasa, ada kanak-kanak, ada remaja dan ada orang tua. Ada melatah kasar dan ada melucukan. Paling tidak upaya apabila mereka mengeluarkan kata-kata kesat atau lucah.

Kajian menunjukkan perilaku ini hanya terjadi dalam kalangan orang Asia Tenggara dan ini membuktikan bahawa ia tergolong penyakit yang dipengaruhi budaya. Yakni semacam gangguan fungsi saraf pusat, psikologi dan sosio. Kondisi ini bersifat hipersensitif terhadap kejutan mendadak diikuti ucapan kata dan perilaku secara automatik atau spontan.

Walaupun ia tidak berbahaya, ia boleh menyebabkan kemudaratan terhadap si pelatah dan orang di sekeliling mereka kerana pergerakan rawak dan perbuatan tanpa sedar mereka. Malah, memberikan kesan psikologi terhadap si pelatah itu sendiri sekiranya berasa tertekan akibat dijadikan bahan mainan dan gelak tawa umum.

BERJANGKIT?

Masyarakat kita terutamanya kaum Melayu sememangnya sinonim dengan melatah lebih-lebih lagi golongan berumur. Jika diperhatikan mereka yang melatah seolah-olah hilang pertimbangan dan lupa pada keadaan sekeliling sehingga cenderung melakukan sesuatu yang boleh menyakiti diri sendiri atau orang lain.

Disebabkan latah hanya ditemukan pada rumpun Melayu, maka ia bersifat sistematik pada loghat bahasa. Kalau ada bunyi kuat atau perkara yang membuatkan seseorang terkejut, pasti mereka membalas dengan aksi-aksi spontan yang adakala menggelikan hati.

Bahkan tidak kurang pula yang suka mengusik orang melatah untuk menyegarkan suasana dengan refleks lucu di pelatah. Lihat sahaja pada majlis-majlis perkahwinan. Pasti ada idea si pengusik untuk membuatkan pelatah beraksi.

Namun awas, jika sering bergaul dengan orang latah atau orang yang suka mengganggu pelatah, tidak mustahil penyakit itu menular kepada diri anda juga! Tinjauan WOW terhadap beberapa individu dalam halaman perkongsian bersetuju bahawa latah boleh berjangkit.

Mereka sendiri ada yang melatah akibat terlalu terikut-ikut dengan kawan-kawan sekeliling yang juga melatah. Latah sememangnya boleh menular dalam kalangan sekelompok manusia yang terdedah kepada mereka yang melatah dan cenderung meniru tingkah laku yang sama. 

Maka tidak hairan jika dahulu orang yang kita kenali tidak melatah lama kelamaan terikut-ikut menjadi si pelatah kerana sering bergaul dengan orang latah atau sering diusik oleh orang lain. Ia seolah-olah mengasah ‘bakat’ melatah yang dimiliki.

SEBAB MELATAH

Perbandingan antara kebanyakan video latah yang penulis tonton di YouTube memperlihatkan satu persamaan iaitu mereka ini mudah dipengaruhi oleh lagak atau arahan orang lain yang mengusik mereka. Dalam beberapa saat kemudian mereka mula tersedar perbuatan mereka sehingga kepenatan dibuatnya. Ada juga yang berterusan melatah sehingga berbelas-belas minit sehingga tamat durasi video.

Ada yang membuatkan penulis gelak sampai mengalir air mata dan ada juga yang mengundang simpati di hati ini. Masakan tidak, bagi warga tua, mereka kelihatan lemah dan seperti tidak mahu berhenti.

APAKAH PENYEBAB SESEORANG ITU MENJADI PELATAH?


Pakar mempercayai latah tiada kaitan dengan penyakit tetapi tingkah laku yang berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosio manusia. Ia boleh jadi bersifat keturunan dan boleh jadi kerana ikut-ikutan.

KREDIT:SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment